|

Info Mesir : Sejarah Al-Azhar Serta Kesannya Terhadap Dunia Pendidikan.

Universiti Al-Azhar yang terletak di Kaherah, Mesir dikenali sebagai pusat pendidikan tinggi kedua tertua di dunia sebagai universiti agama paling penting di dunia Islam selepas Universiti Al Karaouine di Maghribi. Kehadiran Al-Azhar menjadikan sebagai salah satu bukti bahawa peradaban Islam pernah menjadi lebih bertamadun dibandingkan dengan peradaban barat yang mempunyai pusat pendidikan tinggi barat yang didirikan sekitar dua tempoh selepas berdirinya Universiti Al-Azhar ini.

Kita sering diberitahu beberapa universiti yang berpengaruh di dunia pendidikan, ada baiknya sekiranya kita dapat mengenali sedikit wacana sejarah berdirinya Universiti Al-Azhar yang amat penting bagi kita sebagai umat islam.

Sejarah Berdirinya Al-Azhar

Bermula daripada pembinaan masjid pada tahun 970 M (Masihi) oleh Dinasti Fatimiah dan disiapkan dengan rasminya pada tahun 988 M. Pada waktu itu, Kota Kaherah sudah dikuasai oleh Kerajaan Fatimiah pada tahun 969 M dan terus dibangunkan sebuah masjid yang dinamakan sebagai Jami’ al-Qahirah (Masjid Kaherah). Pembinaan masjid ini berlaku selama dua tahun dan dibolehkan untuk bersolat pada tanggal 7 Ramadan 361 H / 22 Jun 972 M.

Seiring dengan itu, kompleks Masjid Jami’ al-Qahira ini telah diubah namanya menjadi Masjid Al-Azhar. Nama Al-Azhar dinisbahkan kepada Saidatina Fatimiah al-Zahra, puteri Nabi Muhammad ﷺ dan juga isteri Saidina Ali bin Abu Thalib R.A. Sejak dari itu, Jami’ al-Qahira lebih dikenali dengan nama Al-Azhar. Kelahiran Al-Azhar sebagai pusat pendidikan dan keilmuan dimulai ketika Dinasti Fatimiah berada di kemuncak pemerintahannya yang dipimpin oleh Abu al-Mansor Nizar al-Aziz pada tahun 975 M – 996 M.

Perkembangan Universiti Al-Azhar

Abu al-Mansor bersetuju dengan proposal yang dibentangkan oleh Ibnu Killis, salah satu menteri kepercayaannya untuk menyediakan cara-cara untuk membangunkan sebuah pendidikan kepada Masjid Al-Azhar. Ibnu Killis juga memberikan tugasan kepada beberapa guru tetap untuk menjalankan pendidikan dan mereka dilatih oleh Ibnu Killis mengenai kurikulum pendidikan Al-Azhar. Para guru tersebut kemudian mengikuti kurikulum yang sudah dipraktikkan serta mendapatkan pembayaran gaji dari Kerajaan Fatimiah sendiri. Pada Ketika itu, Sejarah berdirinya Al-Azhar memiliki empat manhaj pengajian, seperti berikut:

  1. Kelas Umum: Khusus bagi orang islam yang tiba di Al-Azhar untuk mempelajari Al-Quran & metode penafsirannya.
  2. Kelas Keislaman: kesesuaian bagi orang islam yang ingin mengkaji permasalahan dalam fiqh islam bersama dengan bimbingan para guru pada masa itu.
  3. Kelas Darul Hikam: diberikan oleh para mubaligh & diperuntukan bagi penduduk tempatan serta kelompok pelajar pada saat itu.
  4. Kelas tidak formal: disediakan untuk kelompok muslim yang ingin menuntut ilmu agama secara umum.

Semasa perkembangannya, Universiti Al-Azhar tidak hanya memiliki pembelajaran pada ilmu agama semata, bahkan meliputi untuk mengadakan diskusi & perdebatan bebas di antara ilmuwan yang lain. Maka bermula dari itu, Al-Azhar mula menemukan keistimewaannya yang tersendiri dari sudut akademik dengan mempelbagaikan bidang dalam pengajian. Pada masa keemasannya di era ke 14 & ke 15, Universiti Al-Azhar mula menawarkan bidang selain agama. Sebagai contoh, bidang kedoktoran, matematik, astronomi, geografi & sejarah. Meskipun begitu, teologi & aturan agama tetap menjadi pengajian & penelitian utama yang difokuskan.

Universiti Al-Azhar pada Masa Moden

Ketika Eropah mula menjajah Mesir, peranan Al-Azhar mula berubah. Pada masa penjajahan Perancis, Al-Azhar digunakan sebagai kawasan pertembungan untuk menghadapi tentera Perancis. Tatkala tahun 1811 M, kebangkitan pemerintahan Muhammad Ali memiliki kebijaksanaan dalam mengatur pusat kota kaherah.

Awal Abad ke-19

Pada masa ini, Ulama’ Al Azhar terpaksa membebaskan diri daripada kepentingan politik kerana kemunculan rejim Muhammad Ali Pasha yang kuat. Rejim ini bertujuan untuk membuat perubahan kepada struktur pentadbiran sekaligus menggantikan sistem pemerintahan & pendidikan. Dengan pembaharuan ini, Islam kehilangan dua peranan besar, iaitu menjadikan ulama seperti watak utama dalam pentadbiran sebelum ini. Selain itu, saluran baharu untuk mendidik golongan elit telah diwujudkan. Akibatnya, ulama dan pelajar Al-Azhar terpaksa bersaing dengan sekolah baharu seperti Dar al-Ulum.

Awal Abad ke-20

Kemudian, institusi ini juga telah menjadi markaz pertumbuhan para pemikir Islam pada permulaan abad ke-20, di mana salah satu tokoh pembaharuan terkenal turut mengajar di universiti tersebut iaitu Muhammad Abduh (1849M – 1905M).

1930 – 1961

Al-Azhar telah menerima statusnya sebagai universiti. Lalu, ia disusun semula bidang akademik yang baru pada tahun 1930-an. Al-Azhar pula mula menerbitkan jurnal & memasukkan disiplin akademik dalam kurikulumnya dan menubuhkan kolej perempuan.

Pada tahun 1950M, sistem pendidikan Al-Azhar terbahagi kepada 3 jenis fakulti. Antaranya ialah fakulti syariah undang-undang islam, Usuluddin & Bahasa Arab. Kemudian pada tahun 1961M, Al-Azhar juga membuka tawaran ke dalam fakulti am selain pengajian Islam. Seperti, fakulti perubatan, fakulti kejuruteraan mekanikal, fakulti pertanian dan lain-lain. Proses pemodenan di Al-Azhar juga telah melebarkan pengaruhnya dalam dunia Islam, di mana tokoh-tokoh penting Islam adalah keluaran dari pelajar universiti Al-Azhar.

Sistem Pendidikan Al-Azhar Kini

Sistem pembelajaran Al-Azhar sangat unik dan lain dari yang lain. Kebanyakan universiti kini telah melaksanakan kaedah moden dan canggih untuk memantau pelajar mereka, tetapi Al-Azhar masih memilih untuk menggunakan kaedah klasik mereka. Al-Azhar melaksanakan sistem pengajian 4 tahun, tiada cek kehadiran bagi pelajar dan pelajar bebas memilih pelajaran serta guru yang ingin dipelajari. Pada pandangan pertama, kaedah sebegini nampaknya tidak selamat dan samar-samar, tetapi terdapat beberapa maksud dan niat di sebalik prosedur yang diamalkan.

Sistem tidak hadir pada setiap persidangan mempunyai falsafah bahawa seseorang pelajar perlu mengutamakan ilmu yang diperoleh, bukan sekadar tiba untuk mencari ketidakhadiran tetapi tidak mencari ilmu. Selain itu, sistem pentadbiran Al-Azhar masih menggunakan kaedah manual, di mana ketabahan pelajar dilatih.

Al-Azhar juga menggunakan kaedah sanad (periwayatan) dimana pelajar bersua muka dengan guru untuk menuntut ilmu & pelajar juga tentunya akan diuji sejauh mana mereka menguasai ilmu yang diberi. Selain menimba ilmu di dalam kelas, pelajar juga digalakkan menimba ilmu melalui halaqah di masjid Al-Azhar. Selain itu, Al-Azhar juga mempunyai bilik kuliah yang ringkas menggunakan meja dan kerusi panjang yang biasanya diduduki 5-7 orang. Inilah yang mengajar pelajarnya untuk bersederhana.

Bagi kaedah peperiksaan di Al-Azhar, universiti ini menggunakan kaedah pakej, di mana gred bagi kursus yang diuji pada semester genap dan ganjil digabungkan. Bagi pelajar yang gagal dalam lebih daripada dua pelajaran, mereka akan diambil semula selama setahun. Manakala pelajar yang hanya gagal dalam satu atau dua mata pelajaran masih diisytiharkan lulus tahun namun mata pelajaran tersebut perlu diambil semula pada tahun berikutnya.

Tempoh peperiksaan dibahagikan dalam dua fasa. Musim sejuk sebagai fasa satu dan musim panas sebagai fasa dua. Walaupun Al-Azhar nampaknya mempunyai prosedur peperiksaan dan penilaian yang ketat, universiti ini tetap mahu mengajar keikhlasan dan kesungguhan belajar kepada pelajarnya.

Kini pada tahun 2024, perubahan dari sudut pembelajaran dan pengajian masih sama iaitu mengamalkan pengajian sanad dan kebanyakan masih mempelajari kitab-kitab klasik (turath) dan asas kepada sesuatu ilmu itu. Perbezaan yang ketara hanyalah wajah Azhar sudah mengamalkan kaedah yang moden dalam pentadbirannya. Antaranya, banyak menghidupkan platform media sosial untuk menyebarkan ilmu dan maklumat kepada masyarakat dunia.

Selain itu, keistimewaan Al-Azhar adalah dengan adanya lantikan syeikh Al-Azhar. Jawatan Imam Besar Al-Azhar atau Syeikh Al-Azhar diisi oleh seorang ulama Mesir. Jawatan ini merupakan jawatan paling terkemuka dalam Islam dan sering dianggap sebagai pihak paling berkuasa dalam fiqah (perundangan Islam). Syeikh al-Azhar ialah jawatan rasmi agama paling terkemuka di Mesir. Terdahulu semasa penubuhan jawatan ini di bawah Empayar Uthmaniyah, penyandang jawatan ini dipanggil Musyrif dan kemudiannya Nazir. Antara tahun 1860 dan 1864, sebuah lembaga ulama ditubuhkan sebagai ganti peranan Imam Besar al-Azhar.

Beberapa Imam Besar berkhidmat beberapa penggal perkhidmatan; setiap penggal disenaraikan secara berasingan. Sumber utama menunjukkan tahun dalam takwim hijrah, jadi penukaran kepada tahun masihi oleh sumber Barat mungkin ada yang kurang tepat.

Bilangan mereka semua adalah seramai 50 orang ulama’ yang telah menjadi Syeikh Azhar. Sebahagian mengatakan jangka jawatan besar ini tamat adalah sepanjang hayat. Syeikh Al-Azhar terkini adalah Syeikh Ahmad Tayeb Hafizahullah yang telah dilantik pada tahun 2010.

Antara keistimewaan utama adalah dengan kehadiran sumber ilmu agama kepada dunia. Antara ilmu-ilmu yang bernilai di Al-Azhar adalah dengan boleh berkemahiran dalam bidang usul fiqh. Hampir kesemua fatwa dunia islam banyak merujuk ulama’ mesir sebelum sesebuah negara itu mengeluarkan fatwa ataupun pendapat. Selain itu, bidang bahasa arab kesusasteraan antara ilmu yang bernilai di mesir. Ini kerana kebanyakan orang bijak pandai mesir mahir dalam mengungkapkan syair dan qasidah, antara sebab yang lain juga adalah penguasaan dalam memahami ilmu balaghah.

Sebagai kesimpulan, betapa pentingnya kita dapat menulusuri sejarah silam kegemilangan islam, hal ini kerana, segala peninggalan yang dihasilkan itu adalah sebuah sumbangan kepada umat islam untuk terus menyambung rantaian perjuangan dalam bidang keilmuan khususnya agar umat islam menjadi umat yang bertamadun dan mampu mengembalikan islam ke puncak yang tertinggi.

Jangan pernah sia-siakan segala tinggalan permata yang pernah dihasilkan oleh para ulama’ terdahulu sehingga kini.

Rakyat Malaysia yang ingin memasuki universiti Al-Azhar harus bersedia segala mental dan fizikal serta niat yang murni. Segala mehnah dan ujian banyak bakal berlaku. Pengkhususan bagi rakyat kita adalah pada bidang-bidang tertentu sahaja. Antaranya bagi subjek agama adalah dalam fakulti usuluddin, syariah islamiah, lughah, dirasat islamiah dan ulum islamiah. Begitu juga dibuka juga peluang bagi bidang kedokteran. Antaranya, fakulti pergigian, perubatan dan farmasi.

Justeru, kami mendoakan rakyat yang sambung pengajian di universiti Al-Azhar dapat terus memberikan yang terbaik dan sentiasa capai kecemerlangan dalam apa-apa bidang agar bila pulang ke tanah air nanti dapat menjadi buah permata yang mampu memimpin masyarakat khususnya di Malaysia.

Ust Amirul Hadif
Fakulti Bahasa Arab, Universiti al-Azhar.
Kolumnis Tinta Azhari.

Similar Posts